www.puncacipta.com
Arkitek Punca Cipta
Pavilion Cipta, 1340 Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai,
20400 Kuala Terengganu
Tel 609 6170075 Fax 609 6174879
Email puncacipta@puncacipta.com



Kandungan Mukadimah

Bab 1
Amanah, Penghormatan dan Profesionalisme
Bab 2
Cabaran Profesionalisme
 
Bab 3

Praktis sebagai perniagaan

 
Bab 4
Praktis dalam lingkungan perundangan





Panduan Praktis 

Mukaddimah

Salam sejahtera.
Segala puji bagi Allah, yang kepadanya kita memanjatkan doa dan kesyukuran kita di atas segala limpah rahmatnya. Moga-moga dengan rahmatnya juga usaha untuk menyediakan panduan praktis senibina ini akan diberkati dan dimanafaatkan oleh graduan senibina yang sedang melengkapkan diri untuk menjadi seorang professional. Tidak ada kelainan dalam usaha ini jika dibandingkan dengan seminar dan kursus yang dianjurkan dari masa ke semasa oleh badan-badan professional kecuali dalam menggunakan Bahasa Malaysia sebagai pengantar. Namun demikian saya secara peribadi bahawa pendekatan pendidikan profesional yang dilangsungkan dewasa ini terlalu hambar dari aspek asas kemurnian dan pendekatan  ugama .

Kekosongan ini menyebabkan kita bergantung semata-mata kepada asas moral dan rasa-hati yang seringkali dikesampingkan dalam suasana yang memerlukan pertimbangan dan tekanan.  Kerana itu, di mana mungkin, panduan ini akan juga menyentuh sedikit sebanyak kepada latarbelakang ilmu wahyu yang seharusnya menjadi panduan kita dalam apa juga suasana. Panduan ini diharapkan bukan sahaja membantu para calon peperiksaan LAM/PAM Bahagian III untuk menyiapkan diri, tetapi juga mendekatkan mereka dengan asas keilmuan Islam yang terkandung dalam al-Quran, sunnah Rasulullah, pendekatan sahabat, ilmuan dan ulama. Melalui panduan ini, saya mengharapkan agar generasi pengamal praktis kesenibinaan di masa hadapan akan lebih besar jiwanya dan sentiasa menginsafi bahawa amanah yang dipikulkan ke atas bahu mereka adalah besar dan berat

Saban tahun, lebih seratus calun mendaftar dan menduduki peperiksaan LAM/PAM Bahagian 3 ini; peperiksaan yang akan memberikan lulusan, hak untuk memakai katanama Arkitek seperti yang dikanunkan oleh Akta. Kelulusan ini akan memberikan beliau satu status yang tinggi dan dihormati bukan sahaja oleh rakan dalam bidang dan industri yang sama malah oleh undang-undang dan amalan komersil. Tandatangan seorang Arkitek menjadi bukti pada kesahihan dan keyakinan untuk keselamatan nyawa dan hartabenda, memperakukan monumen dibina, dan wang bertukar tangan. Penggubal undang-undang merujuk kepada kita untuk pendapat sebelum satu peraturan dicipta. Demikianlah besarnya kepercayaan yang diamanahkan. 

Memahami tanggungjawab ini, mudah bagi kita menghayati betapa payahnya laluan yang perlu dihadapi oleh seorang sebelum dapat memanggil dirinya Arkitek. Betapa pendokong industri tidak akan memberi jalan mudah untuk kita melepasinya. Namun betapa payahpun, bilangan ramai yang telah melepasinya adalah bukti yang ianya tidak mustahil. Yang perlu adalah kemahuan; kesungguhan untuk menukar mimpi menjadi kenyataan. 

Dalam syarahan pertama, sewaktu mengikuti kursus senibina di universiti,  pensyarah membaca satu ayat dari al-Quran; 

Rentasilah oleh kamu Maya ini, dan kamu tidak akan dapat merentasinya melainkan dengan Ilmu.

 

Inilah panduan dan asas keyakinan saya secara peribadi untuk mengharungi liku-liku cabaran sebelum lulus dan bergelar Arkitek dan kemudian pula dalam melaksanakan amalan senibina. Inilah sebenarnya janji Allah akan potensi dan kemampuan kita. Meyakini janji ini, tidak akan ada perjalanan yang jauh dan sukar, tidak akan ada pengorbanan yang tidak berharga. 

Menjadi seorang arkitek sebenarnya menyatakan penerimaan kita terhadap amanah yang besar. Namun amanah ini berbaloi dengan penghormatan dan wang ringgit yang terhad hanya oleh kemampuan kita. 

Kalau tahun-tahun yang dilalui adalah satu perjalanan, kita sebenarnya telah berjalan jauh dan penghujungnya telah terlalu hampir. Namun hujung itu sendiri adalah tapak mula untuk satu perjalanan lain yang bersambung. Biar apapun sebab dan alasan untuk kita melalui perjalanan ini, kita sebenarnya telah disiap siaga. Cuma kita yang tidak menyedarinya. Demikian mulakanlah langkah itu.

Perahu sudah di air,

Dayung sudah ditangan....... 

Wasaalam

                     Nasharuddin bin Haji Abdul Majid     A.P.A.M

 

 


  NASHARUDDIN
HAJI ABDUL MAJID 

APAM, ACiArb
Diploma Architecture UTM Advance Diploma Architecture ITM

Latarbelakang
Lahir di Terengganu Darul Iman. Latarbelakang pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kemasek dan Kolej Melayu Kuala Kangsar. Pendidikan tinggi di Universiti Teknologi Malaysia dan Insttitut Teknologi Mara  
Ahli Korporat Pertubuhan Arkitek Malaysia dan Lembaga Arkitek Malaysia serta Ahli Bersekutu Chartered Institute of Arbitrator. Kini menjalankan praktis senibina di bawah nama
ARKITEK PUNCA CIPTA yang beribu pejabat di Kuala Terengganu.

Halaman ini disediakan sebagai sumbangan peribadi kepada perkembangan senibina khususnya untuk melihat lebih ramai anak-anak bangsanya meyakini kemampuan diri dan melepasi halangan minda untuk menjadi Arkitek yang diiktiraf.


ARKITEK PUNCA CIPTA
Klik di sini untuk ke halaman web firma


MULLA NASRUDDIN
Koleksi anekdots dari falsafah Mulla Nasruddin yang lebih dikenali dalam alam sastera Melayu sebagai Abu Nawas


INSTITUT KAJIAN SEJARAH SENI & SENIBINA [IKSAS]