www.puncacipta.com
Arkitek Punca Cipta
Pavilion Cipta, 1340 Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai,
20400 Kuala Terengganu
Tel 609 6170075 Fax 609 6174879
Email puncacipta@puncacipta.com



Bab 1
Amanah, Penghormatan dan Profesionalisme
Bab 2
Cabaran Profesionalisme
 
Bab 3

Praktis sebagai perniagaan

 
Bab 4
Praktis dalam lingkungan perundangan

 

1.0 Amanah, Penghormatan dan Profesionalisme

Sijil keanggotaan korporat Lembaga Arkitek hanyalah sekeping kertas. Namun di kertas itulah tercatit penghormatan tinggi satu badan profesional yang diiktiraf oleh perundangan negara ke atas kemampuan anda. Sijil yang memmberikan anda lesen untuk menjalankan praktis kesenibinaan itu tidak hanya memberi anda hak untuk bergelar ‘Arkitek’, mencari nama dan kekayaan dengannya tetapi disitulah juga terletaknya amanah besar untuk anda memikul tanggungjawab atas kepercayaan masyarakat, ke atas keselamatan nyawa dan harta. Tandatangan anda menjadi kunci dan penentu bagi berpindahnya wang dari tangan ke tangan, mengizinkan monumen dibina dan mengesahkan tentang kesahihan selamat dan layak satu bangunan didiami, di tangan anda dipertaruhkan nyawa, kesihatan dan keselamatan hartabenda. Penghormatan yang diberi oleh peruntukan undang-undang tidak akan bermakna, jika orang yang diberi amanah untuk melaksanakan tanggungjawab, khianat, gagal atau tidak mampu melaksanakan amanah itu. Melaksanakan amanah tidak hanya terhenti setakat memenuhi kehendak undang-undang namun natijahnya melangkau hayat. Tuntutan ugama misalnya jelas, sejelas kristal. Tiada amanah yang boleh dipikul sambil lewa, sebaliknya dengan kesungguhan melaksanakan serentak keadilan dan kesaksamaan. Al-Quran menggariskan tuntutan amanah dalam banyak ayat-ayat yang jelas.

 

Dan sempurnakanlah takaran apabila kamu menakar, dan timbanglah dengan neraca yang benar. Itulah yang lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

(al-Israa 17:35)

Penghormatan yang diberikan oleh masyarakat bersandar kepada ciri-ciri yang membentuk dan meletakhak kepada profesionalisme itu sendiri. Lord Denning (1989) menggariskan institusi profesional sebagai satu badan yang hanya akan dihormati dan diiktiraf kalau ia memenuhi 9 syarat; 1. kawalan, 2. pendidikan asas dan lanjutan, 3. etika, 4. peraturan dan piawaian, 5. tindakan disiplin, 6. pengekalan profesion, 7. kesaksamaan praktis, 8. kebebasan dan 9. kepimpinan. Ciri-ciri ini sekiranya diamalkan tidak hanya akan mempastikan penghormatan kepada profesion itu mempunyai makna malah akan membantu mempastikan kesinambungan relevannya dalam suasana alam perniagaan yang berubah.

1.1 Ciri-ciri Profesionalisme

Berikut digariskan penerangan ringkas tentang ciri-ciri profesionalisme yang diamalkan di Malaysia. Penerangan mendalam dibuat dalam bab-bab khusus yang berkaitan. 

1.          Kawalan  

Profesion senibina di Malaysia dikawal oleh Akta Arkitek 1967 (Pindaan 1974) yang digubal oleh parlimen. Akta memberi kuasa kepada penubuhan Lembaga Arkitek yang menentukan dasar profesion. Melalui Akta ini digubal Kod Tatacara Kelakuan (Code of Conduct) dan Skala Fee Minima (Minimum Scale of Fee) yang dijadikan asas bagi perkhidmatan kesenibinaan.

 2.           Pendidikan Asas Dan Lanjutan

Graduan arkitek sebelum diterima untuk didaftarkan sebagai Arkitek Berdaftar perlu melalui satu tempoh pendidikan formal di universiti yang diiktiraf samada di dalam atau di luar negara. Arkitek diiktiraf pendaftarannya hanya apabila lulus peperiksaan Bahagian 3 yang diselenggarakan oleh Lembaga Arkitek Malaysia. (Sila rujuk Bab ‘Keperluan Pendidikan dan Pentauliahan). Selain daripada keperluan lulus peperiksaan tersebut, arkitek perlu melalui inisiatif peribadinya untuk berterusan mendalami pengetahuan yang berkaitan dengan kerjayanya. Pendidikan berterusan melalui program yang dipanggil CPD (Continued Professional Development) yang dianjurkan oleh badan profesional serta diktiraf adalah satu cara dimana konsep pendidikan berterusan ini dapat dimenafaatkan. 

3.          Etika

Kod Tatacara Kelakuan (Code of Conduct) yang diwartakan dibawah peruntukan kuasa Menteri digubal sebagai satu petikan daripada Akta Arkitek. Kod Tatacara Kelakuan ini menjadi garis panduan yang menyeluruh kepada amalan kesenibinaan di negara ini. Penggubalan Kod Tatacara Kelakuan memungkinkan kawalan dalaman dilaksanakan keatas tatacara kelakuan profesional yang merangkumi tanggungjawab pengamal dalam hubungan dengan masyarakat, klien dan sesama pengamal. (Sila rujuk Bab ‘Kod Tatacara Kelakuan Profesional).

 4.          Peraturan Dan Piawaian

Peraturan yang menjadi asas profesionalisme ditentukan oleh Akta Arkitek 1967 serta terbitan-terbitan daripada akta dalam bentuk ‘Peraturan’, ‘Pekeliling’ atau ‘Pindaan’ akta itu sendiri. Akta ini menjadi terma rujukan utama kepada pengamal. Lembaga Arkitek dari masa ke semasa, bertindak mengeluarkan ‘peraturan’ dan ‘pekeliling’ samada untuk menjelaskan mana-mana peruntukan akta, memaklumkan peraturan baru atau memberi peringatan kepada arkitek berhubung dengan isu-isu semasa yang menyentuh amalan kesenibinaan. Lembaga juga bila diperlukan akan bertindak mengeluarkan garispanduan yang menjadi piawai amalan. Piawaian amalan disandarkan tidak sahaja kepada akta, peraturan dan pekeliling itu sendiri sahaja, malah merangkumi pula piawaian dan peraturan dalam industri berkaitan yang ditetapkan secara statutori, seperti keperluan di bawah Undang-undang Kecil Banggunan Seragam, Akta Pemaju Perumahan dan sebagainya. Piawaian amalan di bawah bidang kontrak dan torts pula bersandar kepada undang-undang yang berkaitan serta preseden perundangan.

 5.           Tindakan Disiplin

Bagi menjamin nama baik profesion, LAM mempunyai fungsi dan tanggungjawab yang besar sebagai badan yang bersifat ‘self-regulating’. Dengan fungsi ‘check and balance’ dalaman, profesion diurus dikalangan ahli profesion untuk memberikan keyakinan kepada awam tentang keterbukaaan dan ketegasannya. Kuasa untuk tindakan disiplin meliputi kuasa untuk memanggil mana-mana ahli profesion untuk menjawab tuduhan dan membela diri hinggalah kepada amaran, denda dan bagi kemungkiran yang amat berat, penggantungan dan seterusnya pemecatan dari hak untuk menjalankan amalan profesional. 

6.           Pengekalan Profesion

 Akta Arkitek 1967 (Pindaan 1974) yang digubal oleh parlimen mengekalkan praktis kesenibinaan kepada pengamal tempatan yang melepasi syarat-syarat yang ditentukan dan tidak kepada pengamal ekspatriat atau pengamal dari bidan yang berbeza. Dalam menghadapi ancaman globalisasi, Akta ini merupakan antara pertahanan terakhir yang akan memelihara kepentingan profesion dan pengamalnya. 

7.          Kesaksamaan Praktis

Arkitek sesama mereka dan tanpa mengira senioriti dianggap samarata dari segi perundangan untuk memberikan perkhidmatan kesenibinaan. Kod Tatacara Kelakuan yang digubal dibawah Akta Arkitek, menyamaratakan lapangan yang boleh diceburi oleh Arkitek dalam persaingannya antara satu sama lain. Ia juga menyediakan garis panduan tentang jangkauan dan had yang tidak boleh dilampaui oleh pendokong praktis.  

8.          Kebebasan

Konsep kebebasan profesional terletak kepada amanah yang diberikan perlindungan hak perundangan melalui penggubalan akta badan profesional. Hak ini memerlukan anggota dan pengamal profesion untuk bebas dalam amalan, pendirian dan  tindakan. Kebebasan ini memberikan perlindungan hak  kepada pengamal untuk tidak memihak bukan sahaja dalam pertikaian di hadapannya malah dalam menyuarakan pendapat dan pandangan dalam sesuatu isu.

 9.          Kepimpinan

Adalah menjadi lumrah bagi ahli-ahli badan profesional dilantik untuk menganggotai mana-mana badan atau lembaga yang berkaitan dengan profesion atau industri pembinaan. Dalam suasana kegawatan ekonomi 1998 misalnya, Arkitek melalui LAM atau PAM mewakili profesion dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara. LAM dan PAM juga mewakili profesion dalam pengemukaan memorandum kepada mana-mana kementerian berhubung sesuatu isu. Melalui perwakilan dalam badan-badan sebegini, pandangan Arkitek selaku pemimpin industri didengar dan diambilkira dalam penggubalan dasar negara. Dalam hal yang menyentuh isu-isu semasa pula, LAM dan PAM memainkan peranan yang penting melalui pengemukaan artikel atau pandangan kepada majalah dan akhbar tentang sesuatu isu bagi pihak profesion. Pandangan ini selalunya merupakan saranan kolektif yang dicapai dengan mengambilkira kemahiran, pengalaman dan pengetahuan profesion seluruhnya. Buletin daripada LAM dan PAM serta majalah-majalah berkala yang dikeluarkan oleh mereka juga merupakan satu wadah dimana pandangan profesion selaku pemimpin industri disebarkan.

Hari ini, kita telah menyaksikan sebahagian dari hak dan penghormatan yang diberikan kepada arkitek sebagai pemimpin industri pembinaan dikikis oleh kealpaan kita, pendokong praktis kesenibinaan sendiri. Kita harus berani berdiri dan mengakui bahawa kita telah tersilap mentafsirkan kehendak dan keperluan industri dan masyarakat yang berubah. Lebih malang lagi kita gagal melihat perubahan yang berlangsung dihadapan kita dan bersikap defensif malah apologetik dalam menangani cabaran. Masa depan kita sebenarnya semakin kelam, kalau kita tidak mahu bangkit dari tidur yang diulit mimpi selesa masa silam.

Amanah yang dipikul dari kedudukan sebagai seorang profesional terletak pada hak yang tergaris dalam undang-undang. Namun demikian undang-undang itu tidak boleh memaksakan penghormatan kalau ianya tidak diterima dengan senang hati oleh masyarakat. Anda adalah masa depan profesion ini. Melaksanakan amanah adalah satu-satunya wadah untuk meneruskan penghormatan yang masih tinggal ini.

 Wassalam

Nasharuddin bin Haji Abdul Majid     A.P.A.M, ACiARB


  NASHARUDDIN
HAJI ABDUL MAJID 

APAM, ACiArb
Diploma Architecture UTM 
Advance Diploma Architecture ITM

Latarbelakang

Lahir di Terengganu Darul Iman. Latarbelakang pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kemasek dan Kolej Melayu Kuala Kangsar. Pendidikan tinggi di Universiti Teknologi Malaysia dan Insttitut Teknologi Mara  
Ahli Korporat Pertubuhan Arkitek Malaysia dan Lembaga Arkitek Malaysia serta Ahli Bersekutu Chartered Institute of Arbitrator. Kini menjalankan praktis senibina di bawah nama
ARKITEK PUNCA CIPTA yang beribu pejabat di Kuala Terengganu.

Halaman ini disediakan sebagai sumbangan peribadi kepada perkembangan senibina khususnya untuk melihat lebih ramai anak-anak bangsanya meyakini kemampuan diri dan melepasi halangan minda untuk menjadi Arkitek yang diiktiraf.



ARKITEK PUNCA CIPTA
Klik di sini untuk ke halaman web firma


MULLA NASRUDDIN
Koleksi anekdots dari falsafah Mulla Nasruddin yang lebih dikenali dalam alam sastera Melayu sebagai Abu Nawas


IKSAS
INSTITUT KAJIAN SEJARAH SENI & SENIBINA